Monday, 5 September 2011

POPULASI

Perkampungan Masyarakat Melayu

 


Penduduk kampung Atas Tol dan kampung-kampung rangkaian ini dianggarkan mempunyai kira-kira 5,129 orang dan majoriti  daripada jumlah penduduk adalah daripada masyarakat Melayu. Daripada jumlah itu juga, penduduk yang berusia 40 tahun keatas dianggarkan kira-kira 1,466 manakala selebihnya berusia dibawah umur 40 tahun.
Secara amnya, penduduk kampung menjalani gaya hidup yang sederhana dan saling hormat menghormati sejajar dengan nilai warisan nenek moyang yang mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Sikap saling bermuafakat antara penduduk masih kukuh diamalkan oleh penduduk kampung.

SEJARAH KAMPUNG ATAS TOL

Kampung Atas Itu

 

Sejarah nama kampung Atas Tol agak unik dan sehingga kini masih tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana tiada catatan bertulis yang ditinggalkan. Namun mengikut cerita orang-orang tua, penduduk di sini pada zaman tersebut tinggal di beberapa penempatan secara berkelompok, di pinggir tanah gersang yang terbentang luas, berpasir, tidak sesuai untuk tujuan bercucuk tanam dan sukar mendapatkan sumber air. Selain itu, kawasan kampung ini juga ketika itu, ditumbuhi dengan pokok kemunting dan akhirnya dijadikan tanah perkuburan. 

Tanah gersang yang tidak bernama itu sekadar disebut ‘di atas itu’ atau ‘atas tu’ sahaja, lama kelamaan ia telah menjadi bahan percakapan dan akhirnya panggilan ‘ATAS TU’ atau ‘ATAS ITU’ disebut dengan Atas Tol pada 1924 semasa penasihat British yang pertama iaitu Humpreys memperkenalkan sistem daerah buat pertama kalinya.

Kampung Atas Tol mempunyai keluasan kira-kira 384 hektar dan merangkumi lapan buah kampung di bawah jajahannya iaitu Kg. Atas Tol, Kg.Alur, Kg. Bawah, Kg. Tanah Lot, Kg. Sungai, Kg. Kolam, Kg. Che Amar dan Kg. Pangkalan Kuin. Kampung ini juga terkenal dengan persekitarannya yang mempunyai banyak kemudahan asas dan terdapat juga institut pengajian pondok pada suatu ketika dahulu. Penduduk kampung ini juga mempunyai sikap perpaduan jitu yang terjalin antara setiap lapisan masyarakatnya.